Petang tadi saya terlihat satu tulisan di akhbar Harian Metro (7 Oktober 2006) dengan tajuknya ' Zon Abie: Industri hiburan lain macam sikit'. Saya pada mulanya tak berapa kisahkan tulisan itu kerana saya bukanlah suka sagat mengambil tahu tentang dunia hiburan. Bagaimanapun saya merasa terpanggil untuk membaca dan meneliti tulisan tersebut kerana terpampang gambar dua pelakon lelaki yang tersohor di Malaysia, M. Rajoli dan Rosyam Nor.
Isunya adalah berkaitan dengan kenyataan Mawi kepada media yang meletakkan syarat tidak akan bersentuhan dengan wanita untuk berlakon. Walaupun kita sedia maklum selama ini Mawi tidak menjaga bab bersentuh ini, namun sedikit sebanyak kita berasa lega kerana tindakan Mawi ini dirasakan untuk membetulkan kesilapannya yang lalu dan untuk membuktikan, berlakon tidak salah selagi diletakkan dalam ruang lingkup syariat.
Namun saya berasa sangat kecewa dengan respon 2 pelakon lelaki tadi dengan kenyataan Mawi tersebut. Kata penulis tersebut :
"Syarat juara Akademi Fantasia 3 itu semacam memandang rendah pekerjaan yang menjadi sumber rezeki pelakon lelaki."
Sepatutnya setiap orang yang mengaku dirinya Islam berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan sebegini. Ini kerana syarat yang diletakkan Mawi itu bukan perkara baru. Malah itulah syarat yang diletakkan Allah SWT. Tidak timbul soal memandang rendah atau tidak pada pekerjaan golongan terbabit.
"Bersentuhan lelaki dan wanita bukan muhrim memang hukumnya haram. Itu sudah termaktub tetapi Rosyam kata, kalau Mawi boleh bersalaman dengan peminat atau orang media (wanita), kenapa di dalam filem tidak boleh?"
Ya, Mawi telah melakukan kesilapan dengan bersalaman dengan peminat wanita. Tapi dalam hal ini, kita sepatutnya bersama dengan Mawi untuk membetulkan kesilapannya dan menegakkan prinsip yang dipegangnya.
Tambah memeranjatkan saya ialah kenyataan dari seorang pelakon lelaki veteran yang dinyatakan penulis sebagai bekas bilal, M. Rajoli. Walaupun saya tidak menyenangi beberapa aksi di dalam lakonannya, namun pada saya setakat ini dialah antara pelakon lelaki yang 'warak'.
"Hukum berdosa atau tidak bersentuhan ini sudah ditentukan Allah. Tetapi ini kerja saya, kalau saya tidak memberi nafkah kepada anak bini, tentu lebih berdosa. Entah-entah anak boleh jadi perompak untuk hidup."
Kenyataannya ini sangat berbahaya kepada orang awam. Lebih-lebih lagi yang tidak memahami Islam. Dari kenyatannya ini dia sendiri mengakui yang dia Ttahu bersentuhan itu haram. Namun kaedah yang diguna pakainya itu amat-amat tidak kena dan bercanggah dengan prinsip syariat. Adakah pekerjaan di Malaysia ini hanya berlakon?
Saya kira kalau hujah beliau ini diguna pakai, maka para pelacur juga boleh menggunakan hujah sedemikian rupa. Mengambil satu mudarat untuk mengelak mudarat yang lebih besar kononnya, maka mereka melacur untuk mengelak anak-anak merompak. Tidak sepatutnya seorang 'bekas bilal' mengeluarkan komen yang menampakkan kedangkalan beliau.
Beliau juga menyatakan bahawa Allah SWT memberi kita peluang untuk mencuci dosa bahkan turut memberi perumpamaan yang tidak relevan. Dia mengambil contoh kita membuang air besar, kalau tidak dicuci, ia akan bertambah busuk. Tetapi kalau dicuci selepas setiap kali membuang, ia akan sentiasa bersih.
Bolehkah taubat diumpamakan dengan mencuci najis selepas membuang air besar? Kalau inilah perumpamannya, maka pada dia segala dosa yang kita lakukan itu hanyalah seperti membuang air besar sahaja.
Tidak tahukah dia bahawa syarat taubat itu ialah menyesali dosa yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh, meninggalkan terus perlakuan maksiat itu, dan berazam untuk tidak melakukan kesalahan yang sama lagi. Seolah-olahnya pada dia pada malam hari kita bertahajud, solat taubat sambil mata menangisi dosa-dosa yang dilakukan, dan siang hari pula kembali mengulangi dosa tersebut. Dia juga menyatakan :
"Jadi tidak payahlah jaga dosa orang lain kerana setiap kita sudah diberi penjaga oleh Allah untuk mengira amalan kita. Biarlah malaikat Raqib dan Atib jalankan tugasnya"
Bukankah banyak dalil-dalil dari Al-Quran dan hadis nabi SAW yang menerangkan kewajipan untuk melakukan amar ma'ruf dan nahi mungkar. Pekerjaan kita bukanlah untuk mengira amalan orang lain. Tetapi setiap yang salah harus diperbetulkan.
Maksud sabda Nabi SAW "Barangsiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mencegahnya dengan tangan. Kalau tidak mampu, hendaklah ia mencegah dengan lidah. Dan kalau tidak mampu juga, hendaklah ia menecegahnya dengan hati. Dan itulah selemah-lemah iman".
Saya bukanlah peminat Mawi. Tapi pada saya respon yang diberikan oleh dua pelakon terbabit terhadap syarat Mawi ini agak keterlaluan. Keterlaluan terhadap Mawi dan keterlaluan terhadap aqidah kita sebagai seorang muslim. Saya tidak nampak sebarang niat tidak baik daripada Mawi semasa mengeluarkan kenyataan ini, jauh sekali memandang rendah terhadap pekerjaan orang lain.
Saya sendiri secara peribadi tidak menghina pekerjaan mereka sebagai pelakon. Tapi bila dibiarkan kenyataan-kenyataan jahil keluar di media, maka orang yang tidak faham Islam akan menjadi lebih keliru. Sedangkan jarang-jarang sekali dipaparkan kenyataan-kenyataan alim ulama', melainkan kenyataan-kenyataan yang kontroversi untuk diputarbelitkan.
Cukuplah Islam dihina di luar negara, oleh musuh-musuh Islam. Janganlah pula ada umat Islam yang jahil dan menambahkan kejahilan orang lain.
0 ulasan:
Catat Ulasan