8.13.2009

BILA NENEK TERPAKSA MENJAGA CUCU


Menjadi isteri bukan mudah, takut anak-anak yang dilahirkan tak jadi manusia, takut suami tak boleh bertahan lama, takut rumah tangga tak bahagia, bila umur semakin tua takut anak-anak menantu tak boleh terima dan macam-macam lagi yang difikirkan.

Syukur kepada Allah dalam kesibukan bekerja segalanya dapat saya uruskan dengan baik anak-anak terpelihara dan terima kasih kepada suami yang bertimbang rasa serta bertanggung jawab, tanpanya pasti saya kalah menguruskan keluarga. Demikian cerita Shofia dalam e-mel dan ketika kami berbual di telefon baru-baru ini.

Saya bersyukur apabila anak-anak tamat pengajian, mereka mendapat pekerjaan. Sebaik sahaja bekerja, mereka sibuk hendak berkahwin. Di sinilah bermulanya masalah mereka. Kita sebagai ibu bapa tidak pernah membantah pilihan mereka, tetapi masalahnya kewangan mereka belum kukuh.

Bila anak lelaki saya nak kahwin setelah setahun bekerja, kita yang terpaksa siapkan duit hantaran dan majlis kenduri kahwin mereka.

Kerana anak sulung nak kahwin kita buat sebaik mungkin, tak ada duit kita bantu sebab tak mahu dia buat pinjaman peribadi untuk duit hantaran. Malangnya setelah dapat seorang anak, baru saya tahu dia meminjam bank juga untuk ke luar negeri berbulan madu.

Bila dah beranak, dia hantar rumah kita sebab tak ada orang nak jaga. Tak sampai dua tahun anak kedua pulak nak kahwin, begitu juga halnya semua kita kena urus, nasib kami masih bekerja dan ada sedikit simpanan. Selesai semuanya walaupun simpanan hari tua sudah berkurangan, ini belum anak bongsu perempuan kami nak kahwin tentu lebih besar belanjanya.

Dipendekkan cerita ketiga-tiga anak kami berkahwin dalam usia masih muda. Simpanan kami semakin kering nasib baik ada pencen. Setelah kahwin mereka duduk sendiri, tapi duduk di KL bukan mudah kalau tak pandai berjimat cermat. Akhirnya bila dah beranak pinak rumah kami jadi pusat jagaan bayi. Pagi hantar malam lepas makan baru ambil, ada juga yang tinggal dengan saya sepenuh masa sebab rumah mereka jauh nak berulang setiap hari. Kerana itu saya terpaksa ambil pembantu rumah, walaupun sudah bersara.

Bila cucu dah ramai macam-macam masalah timbul, ada yang kecil hati bila anaknya terjatuh dan ada yang komplen anaknya masih belum mandi ketika mereka balik. Sebagai nenek saya tak pernah pilih kasih terhadap cucu-cucu saya, semuanya sama. Inilah masalahnya bila cucu dah ramai.

Kerana kecil hati anak yang tua tak mahu hantar anak-anaknya lagi ke rumah kami. Rindunya saya pada dua orang cucu kami itu hanya Allah yang tahu. Maklum dialah cucu sulung yang kami jaga sejak kecil. Tapi bila masalah kewangan terus menekan mereka suami isteri, mereka hantar semula anak-anak ke rumah kami.

Satu hari cuti, saya panggil anak-anak dan menantu, saya ceritakan apa yang saya lakukan terhadap anak-anak mereka bukan tujuan menganiaya, sebaliknya supaya mereka lebih tertib, berdisiplin dan keselamatan mereka terjaga. Sebagai nenek saya sayangkan cucu-cucu saya seperti saya sayangkan mereka dulu.

Malangnya kita boleh memperlihatkan keikhlasan kita kepada anak-anak kita sendiri, tetapi tidak kepada salah seorang menantu saya yang mempunyai pandangan berbeza.

Pada saya merotan bukan tanda tak sayang, tetapi menantu saya mahukan anaknya dididik secara psikologi. Akhirnya dia tarik diri dan hantar anaknya ke pusat asuhan.

Pada saya kalau itu cara yang terbaik, tak jadi masalah, janganlah pula suruh anak saya datang ke rumah meminjam wang setiap bulan. Kami sudah bersara, pendapatan kami tak seberapa, sedangkan tanggungjawab kami menjaga dan membesarkan anak-anak mereka memerlukan perbelanjaan yang banyak. Siapa boleh tahan.

Saya kasihan lihat suami saya, dia hendak bermasyarakat dengan penduduk taman perumahan tempat kami tinggal yang selama ini tidak dapat dilakukannya kerana sibuk bertugas, malangnya setelah bersara pun dia tidak berkesempatan, tak dapat ke surau kerana sibuk dengan cucu.

Awal tahun lepas kami buat keputusan untuk ke mengerjakan ibadah haji sekali lagi, kami minta mereka mencari jalan siapa patut menjaga anak-anak mereka. Nak ambil pembantu rumah ke atau minta tolong dengan mertua masing-masing.

Nak jadikan cerita dah dekat tarikh kami berangkat mereka masih tak dapat pembantu rumah untuk menjaga anak-anak mereka. Alasannya anak-anak mereka lebih senang tinggal di rumah kami. Akhirnya mereka bergilir tidur di rumah kami menemankan pembantu rumah saya supaya dia boleh terus menjaga anak-anak mereka.

Pada saya itu adalah pengajaran yang terbaik supaya mereka lebih bertanggungjawab kepada anak masing-masing, biar mereka tahu susah senang menjaga anak-anak sendiri, tidak hanya melepaskan tanggungjawab kepada datuk dan nenek.

Mulai awal tahun ini saya buat undang-undang baru, kalau mahu kami terus menjaga anak-anak mereka, mereka mesti hormati kami sebagai ibu bapa, mereka mesti bertanggungjawab sama mendidik anak. Jangan cepat melenting kalau anak mengadu kena pukul atau kena marah dengan datuk dan nenek. Itu semua untuk mendisiplinkan mereka.

Kalau ada sesiapa yang tak bersetuju, mereka boleh didik sendiri. Nampak gaya tak ada siapa yang bersuara, sebab dah terasa susah menjaga anak-anak sendirian yang terlalu banyak ragam apabila mereka semakin besar.

Mulai awal tahun ini mereka mula meringankan beban kami ada yang membayar gaji pembantu rumah, ada yang membeli keperluan dapur ada yang membantu ke pasar. Bukan kami minta, tetapi kami mahu mereka sama bertanggungjawab bukan sahaja terhadap anak-anak mereka, tetapi kepada kami yang semakin tua ini.

Bukan senang mendidik anak, lebih sukar mendidik menantu, namun mendidik anak yang masih kecil lebih mudah jika mengikut disiplin yang betul. a_

Demikian cerita Shofia tentang masalahnya menjaga cucu hingga ada perasaan menantu yang terguris, tetapi semuanya boleh diatasi jika ada perasaan ingin melihat kebaikan dalam diri anak-anak mereka

0 ulasan:

Catat Ulasan

Blog Widget by LinkWithin
 

Di Sini Kita Bermula.... Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino